Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Anak jutawan diselamatkan


SHAH ALAM 1 April - Polis berjaya menyelamatkan anak seorang ahli perniagaan bergelar jutawan semalam, selepas sembilan hari lelaki itu diculik bagi mendapatkan wang tebusan RM1.5 juta di Kawasan Perindustrian Seri Kembangan dekat sini.
Mangsa yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pengurus projek di syarikat pembinaan milik bapanya diselamatkan di sebuah premis di Rawang dekat sini tanpa sebarang kecederaan pukul 6.30 pagi.
Susulan pembebasan mangsa, polis memberkas sembilan lelaki berketurunan India termasuk seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan.
Polis juga berjaya mendapatkan wang RM275,850 yang merupakan sebahagian daripada wang tebusan pendahuluan berjumlah RM300,000 yang dibayar kepada penculik oleh keluarga mangsa.
Turut dirampas daripada kumpulan penculik itu adalah tiga kereta jenis Proton Gen 2, Proton Waja dan Honda Odyssey; sebuah treler; topeng ski, telefon bimbit, iPad dan kunci kereta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mangsa yang berkeluarga dan mempunyai tiga anak diculik empat lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan dengan menaiki kereta di tapak pembinaan di Seri Kembangan pada pagi 22 Mac lalu.
Beliau berkata, selepas diculik, suspek menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut wang tebusan berjumlah RM1.5 juta.
Menurut beliau, siasatan bermula selepas bapa suspek yang berusia 60 tahun dan merupakan pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan membuat laporan polis pada 11 pagi hari yang sama.
"Selepas keluarga mangsa membayar pendahuluan wang tebusan berjumlah RM300,000 yang diletakkan di satu tempat, polis mula menjejak suspek dan akhirnya membawa kepada pembebasan mangsa yang dikurung di sebuah premis di Rawang.
"Seterusnya kita berjaya membuat tangkapan di Kajang sebelum menahan pegawai polis terbabit di Rawang serta memberkas suspek lain yang kesemuanya sembilan orang. Kita turut menemui sejumlah wang tebusan serta lain-lain barang rampasan di rumah suspek dan di dalam treler.
"Kita juga menahan dalang yang merancang penculikan itu dan memburu saki-baki rakan jenayah mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
Tun Hisan berkata, kesemua suspek yang berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.
Beliau berkata, tiga daripada suspek ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan Inspektor yang diberkas itu ditahan kerja sejak 2010.

No comments:

Post a Comment