Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Ahli perniagaan kempunan bercuti atas kapal


KUALA LUMPUR 1 April - Kisah keseronokan bercuti di atas kapal persiaran yang sering didengar daripada rakan-rakan mendorong seorang ahli perniagaan mencuba pengalaman sama dengan membeli pakej pelancongan pelayaran yang ditawarkan oleh seorang wanita pada awal tahun ini.
Pakej tersebut menawarkan pelayaran di atas sebuah kapal persiaran terkenal dari Kuala Terengganu, menuju ke Papua New Guinea pada 21 hingga 28 Februari lalu.
Namun, percutian indah yang diimpikan tidak menjadi kenyataan kerana pakej ditawarkan tidak wujud, malah nasib ahli perniagaan itu bertambah malang apabila mendapati kepala surat syarikat dan tanda tangannya disalahgunakan oleh wanita berkenaan untuk memperdayakan mangsa lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, mangsa berusia 25 tahun dari Tapah, Perak ditawarkan pakej pelancongan itu oleh seorang wanita dari Seremban, Negeri Sembilan pada Januari lalu.
"Percutian dijanjikan adalah pelayaran dengan sebuah kapal persiaran persendirian dari Kuala Terengganu ke Papua New Guinea pada 21 hingga 28 Februari lalu.
"Mangsa sudah membuat pembayaran untuk lima rakan sebanyak RM2,300 melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Cheras dan membayar RM1,000 lagi bagi pihaknya untuk percutian tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.
Bagaimanapun, Izany berkata, mangsa kecewa apabila menyedari mereka sebenarnya telah ditipu dan bertambah terkejut apabila dihubungi seorang individu tidak dikenali bertanyakan tentang percutian tersebut kerana mendakwa ditawarkan pakej pelancongan sama dari syarikatnya.
Beliau berkata, apabila diperiksa, mangsa mendapati wanita berusia 36 tahun yang pernah berurusan dengannya sebelum ini telah memalsukan kepala surat syarikat dan tanda tangannya untuk menipu mangsa lain dengan tawaran pakej percutian sama tanpa kebenarannya.
Katanya, apabila bersemuka, wanita tersebut tidak mengaku melakukan penipuan dan memaklumkan urusan percutian itu melibatkan kerabat Diraja Terengganu dengan gelaran Pak Engku.
"Apabila mangsa meminta semula wang yang sudah dibayar, wanita berkenaan mengarahkannya supaya berurusan dengan pihak penganjur iaitu Pak Engku.
"Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Cheras di sini baru-baru ini kerana mendakwa suspek turut mengugut dan memburuk-burukkan namanya," ujar Izany sambil memberitahu kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment