Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

Tukang urut dakwa tidak dibayar gaji cuba terjun jejantas

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


BALIK PULAU 28 Mac - Sudahlah dipaksa bekerja 364 hari setahun, kecuali diberi kelepasan pada Tahun Baru Cina, seorang wanita warga China yang bekerja di sebuah pusat refleksologi tertekan apabila tidak dibayar gaji kira-kira RM10,000 oleh majikannya.
Berikutan tekanan itu, Wang Li Mei, 38, bertindak nekad untuk terjun dari sebuah jejantas di Jalan Aziz Ibrahim di sini hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, wanita tersebut berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.
Ketika ditemui di Pejabat Daerah Barat Daya di sini, Li Mei yang berasal dari Shandong, China mendakwa, dia bersama tiga rakan senegaranya berusia antara 23 hingga 38 tahun datang ke negara ini untuk bekerja di pusat refleksologi itu yang terletak di Queensbay, Bayan Baru.
Menurutnya, majikan mereka memaksa pekerjanya bekerja tanpa cuti kecuali diberi kelepasan pada Tahun Baru Cina.
"Walaupun kami dipaksa bekerja setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 1 pagi, kami tidak pernah membantah namun majikan enggan membayar gaji kami sejak Disember lalu.
"Saya memberitahu majikan melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk berbincang mengenai isu gaji tertunggak kami semalam, jika tidak saya akan bunuh diri.
"Namun, dia suruh saya terjun saja dan kemudian akan membantu saya menghubungi Kedutaan China nanti," dakwanya.
Difahamkan, majikan terbabit yang berusia 36 tahun mempunyai tiga pusat refleksologi di negeri ini hanya membayar gaji sebulan kepada Li Mei dan seorang rakan sekerja manakala dua wanita lain tidak dibayar gaji.
Li Mei yang mempunyai dua orang anak perempuan berusia 4 dan 10 tahun mendakwa, majikannya memaksa mereka menyerahkan pasport dan tidak menyediakan asrama untuk mereka.
"Kami hanya diberi tempat tidur di katil mengurut pelanggan di dalam kedai selepas kedai ditutup. Dia akan mengurung kami sampai kedai dibuka untuk beroperasi pukul 11 pagi keesokan hari," katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment