Search This Blog

Saturday, March 17, 2012

Tiga gadis nekad terjun balkoni cedera

Berita Harian Online | Tiga gadis nekad terjun balkoni cedera:Penjenayah pecah masuk rumah bekas ketua polis 

AMPANG: Tiga gadis cedera, termasuk seorang kritikal selepas nekad terjun dari balkoni rumah dua tingkat ketika melarikan diri daripada sekumpulan penjenayah yang memecah masuk kediaman milik bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Johar Che Din itu di Taman Nirwana, di sini, awal pagi semalam.

Semua gadis terbabit adalah adik kepada menantu perempuan bekas Ketua Polis Selangor yang bersara pada 2002 itu dan tinggal di rumah berkenaan bersama kakak serta abang ipar mereka.

Kejadian jam 5 pagi disedari salah seorang mangsa, Nurul Aisyah Othman, 18, yang melayari internet di tingkat atas sementara dua lagi kakaknya, Nurul Athirah, 19, dan Nurul Adawiyah, 21, tidur di bilik berasingan, sementara kakak dan abang ipar mereka bermalam di rumah Johar di Taman Tun Abdul Razak di sini. 

Difahamkan, Nurul Aisyah yang mendengar bunyi bising di tingkat bawah, turun sendirian untuk melihat apa yang berlaku sebelum terkejut apabila ternampak kelibat lelaki di ruang tamu menyebabkannya bergegas naik semula dan memaklumkan perkara itu kepada dua kakaknya. 

Tiga beradik itu yang ketakutan kemudian masuk ke dalam satu bilik dan menguncinya dari dalam, sebelum pintu cuba dibuka dari luar oleh penjenayah terbabit menyebabkan mereka panik dan nekad keluar melalui balkoni bilik berkenaan lalu terjun untuk menyelamatkan diri. 

Ketika terjun, mereka terlebih dulu jatuh di atas atap tingkat bawah sebelum terhumban di atas jalan menyebabkan Nurul Aisyah cedera parah di kepala, manakala Nurul Athirah patah kaki dan Nurul Adawiyah pula cedera ringan. 
Mereka diselamatkan oleh jiran yang mendengar bunyi bising sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang, manakala penjenayah terbabit melarikan diri dan hanya sempat melarikan sebuah laptop. 

Difahamkan, Nurul Aisyah yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan keadaannya dilaporkan kritikal. 

Isteri Johar, Datin Hapsah Mohd Yunus, 60, ketika ditemui di rumah itu berkata, penjenayah terbabit memecah masuk kediaman dengan mengumpil tingkap serta gril di bahagian depan. 

Katanya, rumah berkenaan didiami anak lelakinya bersama isteri, manakala tiga adik kepada menantunya itu tinggal bersama mereka sejak beberapa bulan lalu. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment