Search This Blog

Wednesday, March 21, 2012

Teknik pelik Dr Lau


MACAM INI...Yoon King menunjukkan bagaimana pemegang sudu dimasukkan ke dalam hidungnya.
MACAM INI...Yoon King menunjukkan bagaimana pemegang sudu dimasukkan ke dalam hidungnya. 


KUALA LUMPUR: Seorang warga emas yang mengalami sakit lutut mendakwa diperdaya seorang lelaki mengaku pakar perubatan tradisional Cina sehingga mengalami pendarahan hidung serta masalah pertuturan selepas menjalani rawatan di premis tabib terbabit di jalan Cheras, di sini.
Warga emas berkenaan, Chow Yoon King, 72, berkata, dia menemui Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong selepas membaca laporan sebuah akhbar bahasa Cina pada 7 Mac lalu mengenai seorang mangsa yang kehilangan kedua-dua buah pinggangnya akibat berubat dengan tabib yang sama.

Menceritakan semula pengalamannya berubat, Yoon King berkata, tabib yang dikenali sebagai Dr Lau itu diperkenalkan seorang rakannya awal tahun lalu selepas mendapat tahu dia mengalami masalah lutut.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus berjumpa tabib terbabit untuk mendapatkan rawatan bagi memulihkan lutut saya yang sentiasa sakit. “Sepanjang dua kali rawatan, Dr Lau menggunakan teknik yang agak pelik iaitu memasukkan sudu ke dalam kerongkong hingga termuntah manakala bahagian pemegang sudu pula dimasukkan dalam hidung hingga berdarah,” katanya ketika sidang media di MCA, di sini semalam.

Menurutnya, ketika menjalani rawatan kedua, Dr Lau mengurut bahunya hingga bengkak, kononnya bagi melancarkan peredaran darah.

Warga emas itu turut mendakwa dia membayar RM90 untuk setiap kali rawatan, namun, lututnya tidak juga sembuh, malah sakit semakin bertambah apabila hidungnya sentiasa berdarah serta bahunya membengkak.

“Tidak tahan dengan kesakitan yang ditanggung, saya mengambil keputusan menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang sebelum doktor menasihatkan supaya menghentikan rawatan dengan tabib terbabit.

“Tidak lama selepas itu, saya terbaca mengenai kisah seorang lelaki kehilangan dua buah pinggangnya selepas menerima rawatan tabib yang sama, oleh itu, saya tampil untuk memberi peringatan kepada orang ramai agar menghentikan rawatan dengan lelaki terbabit serta-merta,” katanya.

No comments:

Post a Comment