Search This Blog

Monday, March 26, 2012

Pusat hiburan tarian tiang diserbu



Aksi dua daripada tiga gadis penari tiang yang sempat dirakamkan di sebuah pusat hiburan di Nilai, kelmarin.


SEREMBAN 25 Mac - Pusat hiburan ini baru sahaja beroperasi selama sebulan, namun sajian dihidangkan kepada pengunjung premis berkenaan cukup erotik.
Apa tidaknya, tiga gadis berpakaian seksi dengan aksi mengghairahkan di tiang selama 10 minit bagi dua sesi sudah pasti membuat premis berkenaan mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.
Namun, kegiatan luar batasan undang-undang di premis berkenaan dipatahkan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di sini Sabtu lalu.
Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri memberkas 32 orang atas pelbagai kesalahan.
Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Yusharifuddin Mohd. Yusop memberitahu, premis berkenaan diserbu kira-kira pukul 2 pagi selepas pihaknya menerima maklumat orang ramai selain risikan yang dibuat oleh pihaknya.
Mengulas mengenai kewujudan tarian tiang di premis berkenaan, Yusharifuddin memberitahu, kesemua gadis yang berusia antara 23 hingga 25 tahun itu menari selama 10 minit untuk dua sesi dengan menerima bayaran antara RM200 hingga RM250.
"Sesi tarian ini bermula pukul 1.20 hingga 1.30 pagi manakala sesi kedua pula pada pukul 2.20 hingga 2.30 pagi," katanya ketika ditemui selepas mengetuai serbuan itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap pengunjung premis berkenaan, tujuh daripada mereka yang berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan kerana didapati positif mengambil dadah dipercayai jenis ketamin dan ekstasi.
Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, 24 individu yang berusia antara 19 hingga 63 tahun ditahan kerana mengambil minuman keras di premis berkenaan.
Beliau berkata, kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 78, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mengambil minuman keras.

No comments:

Post a Comment