Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

Pub degil diserbu lagi

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


PULAU PINANG 28 Mac - Walaupun sudah diserbu tiga kali oleh pihak berkuasa tahun ini kerana beroperasi tanpa lesen, sebuah pub di Komtar Walk di sini seperti tidak pernah serik apabila terus mengulangi kesalahan yang sama.
Malam tadi, pusat hiburan itu sekali lagi diserbu dan kali ini, polis menahan 10 orang termasuk pekerja premis iaitu enam lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu, polis turut merampas sebuah mesin muzik yang digunakan di pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng memberitahu, premis berkenan telah beberapa kali diserbu kerana beroperasi tanpa lesen sebelum ini.
"Premis ini beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan ia telah beberapa kali diserbu dan pemiliknya juga telah diberi amaran.
"Bagi menghalang daripada ia terus beroperasi, bekalan elektrik dan air ke premis itu dipotong berkuat kuasa serta-merta," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Cegah Jenayah Bersepadu bermula pukul 10 malam hingga 1 pagi.
Menurut beliau, kesemua pekerja yang ditahan dibebaskan selepas keterangan mereka diambil dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.
Kong Meng berkata, seramai 60 anggota polis terlibat dalam operasi yang bermatlamat untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Ini berikutan terdapat beberapa kes jenayah dilaporkan di kawasan tersebut dan sehubungan itu, polis kini berusaha keras dalam memastikan keselamatan di kawasan berkenaan terjamin untuk keselesaan semua pihak, katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment