Search This Blog

Wednesday, March 21, 2012

Papah isteri melecur

SIBU: Seorang wanita warga emas bertarung nyawa 17 jam akibat melecur seluruh tubuh selepas disambar api dipercayai berpunca daripada hos gas memasak bocor dan meletup di rumahnya di Ulu Sungei Merah, meninggal dunia di Hospital Sibu, tengah hari, semalam.
Mangsa, Ting Mee Ting, 67, yang melecur 60 peratus, meninggal dunia jam 1 tengah hari manakala suaminya berusia 72 tahun cedera terselamat dalam kejadian itu.

Sebelum kejadian, pasangan terbabit dikatakan baru sampai di rumah selepas keluar membeli barang keperluan di kedai berhampiran.

Menurut sumber, letupan kuat menyebabkan rumah sewa milik pasangan terbabit rosak teruk termasuk sebahagian tingkap pecah dan bumbung tercabut.

Sebelum kejadian, mangsa memasuki rumah terlebih dulu kerana mahu memasak makan malam manakala suaminya masih berada di luar. Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terdengar letupan kuat daripada rumah mangsa hingga menyebabkan kediamannya bergoyang.

Menurutnya, dia terkejut melihat jirannya memapah isterinya yang melecur teruk keluar dari rumah itu.

“Saya melihat wanita berkenaan cedera teruk di seluruh anggota badan termasuk muka dan suaminya meminta saya menghubungi hospital bagi mendapatkan bantuan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafiee Ismail, berkata kejadian dipercayai berlaku sebaik saja mangsa memetik salah satu suis lampu di bahagian ruang tamu di rumah berkenaan.

“Sebaik wanita terbabit membuka suis, tiba-tiba letupan kuat kedengaran sebelum api menyambar menyebabkan tubuh mangsa cedera 60 peratus, manakala suaminya cedera di kaki.

“Pada masa sama, beberapa tingkap serta jeriji dipasang pada pintu utama rumah berkenaan tercabut, selain sebahagian bumbung rumah runtuh,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang melecur teruk kemudian dihantar ke Hospital Sibu sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, akibat kecederaan dialami.

No comments:

Post a Comment