Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

Nampak pemandu berdiri tekan brek sekuat hati

myMetro | Nampak pemandu berdiri tekan brek sekuat hati:

SEGAMAT: “Pemandu lori tangki terbabit menekan brek sekuat hati hingga dia dilihat berdiri namun kenderaan itu gagal berhenti sebelum merempuh Proton Saga dinaiki pasangan suami isteri warga emas berkenaan,” kata Zaidi Sajidan, 50, di sini, semalam.
Zaini adalah saksi kejadian kereta Proton Saga dinaiki Mohd Sidin Paijan, 72, dan Natemah Wagimin, 65, dirempuh lori tangki selepas kereta dipandu Sidin cuba membelok ke arah kanan di simpang empat di Bandar Utama Segamat, pada jam 10.15 pagi semalam.

Menurut Zaini, pasangan berkenaan yang berasal dari Kampung Paya Besar bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh kakitangan Hospital Segamat dengan bantuan Bomba dan Penyelamat dari Jalan Abdullah, kira-kira 10 minit kemudian.
Mengimbau kejadian, Zaini berkata, dia serta isteri yang menaiki Proton Exora berhenti di simpang empat berkenaan dan kereta dipandu Sidin pula mahu membelok ke arahnya.

“Kereta Proton Saga itu membelok ke arah saya sebelum lori tangki berkenaan membrek. Bagaimanapun, kerana terlalu hampir, ia gagal mengelak dan merempuh kereta terbabit.

“Akibatnya, kerena berkenaan berpusing beberapa kali sebelum menghentam Proton Exora saya. Saya serta isteri hanya mampu bertawakal kepada Tuhan supaya kami terselamat,” katanya.
Menurut Zaini, kejadian menyebabkan cermin depan Proton Exora berkenaan retak dan isterinya pula trauma.

Zaini berkata, tidak lama kemudian, sekumpulan petugas perubatan serta bomba tiba dan mengeluarkan pasangan warga emas berkenaan yang luka di kepala dan badan akibat terkena serpihan cermin kereta itu.
“Syukur kerana pasangan warga emas itu, saya, isteri serta pemandu lori tangki berkenaan selamat dalam kemalangan itu,” katanya.

Zaini serta pemandu lori itu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat berkaitan kejadian.

Sidin dan Natemah pula dimasukkan ke wad Hospital Segamat dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment