Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

Mati dirempuh ketika bantu polis

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 28 Mac - Niat murni seorang pemuda memberhentikan kenderaannya untuk membantu kemalangan melibatkan seorang anggota polis, bertukar menjadi nahas memilukan apabila pemuda itu maut akibat dirempuh sebuah kereta.
Yasin Husin, 28, maut dalam nahas yang berlaku di Kilometer 42.9, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dekat sini kira-kira pukul 1.15 pagi ini.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai penghantar surat dalam perjalanan ke rumahnya di Puchong selepas menghantar teman wanitanya di Taman Kinrara dan ternampak seorang anggota polis cedera selepas terlibat dalam kemalangan.
Bagaimanapun, menurut jurucakap polis, mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah kenderaan dari arah sama sebaik sahaja keluar dari keretanya untuk membantu anggota polis tersebut.
"Kedua-dua mangsa kemudian dibawa oleh orang ramai ke Pusat Perubatan Universiti Malaya namun Yasin disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari ini selepas mengalami kecederaan parah.
"Sehingga petang ini, pemandu kenderaan yang merempuh pemuda itu belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurut beliau, mangsa dikatakan cuba membantu seorang anggota polis, Hamizan Musnin yang bertugas di Balai Polis Dang Wangi selepas anggota itu dilanggar seorang pemandu kereta.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya segera memaklumkan kepada mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment