Search This Blog

Friday, March 2, 2012

Laman sesat kembali

myMetro | Laman sesat kembali: KUALA LUMPUR: Selepas ditutup 13 hari lalu, kumpulan penyokong murtad di laman sosial facebook (fb) seolah-olah tidak serik apabila menghidupkan kembali kumpulan itu beberapa hari selepas laman itu didakwa digodam sebuah kumpulan penggodam bergelar ‘Dragon Force’ hingga ditutup.

Facebook itu dipercayai ‘dicipta’ individu sama yang pernah menggemparkan negara sebelum ini melalui tulisan menghina agama Islam di laman itu.


Pemerhatian Harian Metro di laman facebook kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai penyokong murtad di Malaysia dan Singapura mendapati laman itu menarik 547 ahli sehingga lewat petang semalam manakala segelintir ahlinya berlatarbelakangkan mereka yang berpendidikan luar negara selain gay dan lesbian.

Lebih menjijikkan apabila kali ini gambar beberapa ekor khinzir menghiasi muka depan laman berkenaan seolah-olah menghina umat Islam secara simbolik kerana haiwan berkenaan jelas diharamkan dalam Islam.


Laman berkenaan dipercayai dikendalikan pemilik dengan menggunakan nama Nadia Minah yang dengan lantang mengajak sesiapa saja yang murtad selain mereka yang menyokong kebebasan beragama untuk menyertai kumpulan berkenaan selain menyatakan forum di laman itu boleh dilihat sesiapa saja termasuk jabatan agama negara ini.


Dengan menggunakan nama kumpulan sama iaitu ‘Murtads in Malaysia and Singapore’ beberapa ahli yang sama juga seolah-olah tidak serik dan terus memperjuangkan agenda masing-masing untuk memesongkan akidah individu lain.

Beberapa cubaan segelintir pemilik facebook yang cuba berdakwah dalam forum di laman berkenaan disangkal ahli yang sudah murtad dengan pelbagai helah serta hinaan selain mempersoalkan isi kandungan al-Quran dan ajaran Islam itu sendiri.


Menerusi kenyataan yang dikeluarkan ahli dalam ruangan forum laman berkenaan kebanyakannya mempersoalkan kewujudan Allah, Nabi Muhammad, isi kandungan al-Quran dan hadis serta ajaran agama Islam malah rata-rata mengakui tidak lagi terikat dengan mana-mana agama atau berfahaman ateis.

Selain berbangga dengan setiap kata-kata berbentuk hinaan terhadap agama Islam dan penganutnya mereka turut mencabar undang-undang negara ini dan mempertikaikan kandungan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak orang Islam di negara ini selain mahu diberi kebebasan dari hukuman syariat Islam.


Harian Metro sebelum ini mendedahkan mengenai kewujudan facebook berkenaan yang bertujuan meraih sokongan masyarakat selain penyertaan terbuka kepada mereka yang murtad di negara ini, pengendali facebook terbabit dikesan turut mempelawa mana-mana individu supaya menyumbangkan sokongan moral kepada golongan ini. Bukan itu saja, mereka juga secara terbuka mengemukakan objektif kumpulan berkenaan sebagai medium kepada sistem sokongan moral untuk golongan terbabit dengan perbincangan mengenai persoalan murtad di Malaysia, termasuk agama Islam serta bangsa Melayu.


Susulan itu, laman facebook berkenaan ditutup sehari selepas pendedahan mengenainya dibuat akhbar ini.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment