Search This Blog

Saturday, March 17, 2012

Kejutan api asrama

myMetro | Kejutan api asrama:KOTA BHARU: “Saya hanya sedar kejadian ini apabila terhidu asap ketika sedang makan bersendirian di bilik,” kata pelajar pusat tahfiz, Wan Aidil Rafie Wan Zee, 13, selepas kebakaran memusnahkan tingkat atas tempat pengajiannya, Maahad Tahfiz Tok Faqih, di sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang itu menyebabkan pusat tahfiz dua tingkat yang dibina hasil sumbangan penduduk kampung, hangus termasuk bahan untuk sesi pelajaran bagi 17 pelajar termasuk buku dan komputer.



Wan Aidil Rafie berkata, sebelum kejadian, dia berada di biliknya sementara pelajar lain beriadah di luar asrama serta membersihkan kawasan masjid.




Katanya, dia yang baru tiga hari dihantar ke pusat berkenaan, memeriksa bilik sebaik menghidu bau pelik dan terkejut melihat api marak membakar langsir di bilik sebelah.



“Selepas melihat api marak, saya menjerit supaya rakan meminta bantuan daripada penduduk. Ada rakan mahu menyelamatkan barang peribadi, namun sempat dihalang memandangkan api semakin besar.



“Penduduk kampung kemudian menghubungi bomba,” katanya.




Mudir Maahad Tahfiz Tok Faqih, Mustafa Ismail berkata, ketika kejadian dia berada di majlis kenduri saudaranya sebelum mendapat panggilan daripada rakan memaklumkan pusat tahfiz berkenaan terbakar.



Katanya, dia beristigfar apabila melihat kejadian itu dan hanya mampu melihat anggota bomba memadam api.






“Akibat kejadian itu, semua pelajar dan dua guru agama tinggal di Masjid Kota sementara menunggu ia dibaik pulih,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Azmi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.09 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera dan 12 anggota termasuk tujuh anggota dan sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Katanya, ketika tiba, pihaknya mendapati 90 peratus tingkat atas pusat tahfiz berkenaan sudah terbakar dan anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal api sebelum dapat dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian.



“Dua bilik tidur pelajar dan pejabat pentadbiran di tingkat atas musnah dan kerugian dianggarkan RM250,000. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment