Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

Kastam rampas syabu RM1.4 juta

Utusan Malaysia Online - Jenayah:



AbdUL Aziz Abdul Latif (dua kiri) bersama pegawainya dari kiri Yusoff Ibrahim, Jayadevan Naidu dan Azizan Abdullah menunjukkan bungkusan (kiri) yang disyaki mengandungi syabu RM1.4 juta dan bungkusan ketamin dianggarkan bernilai RM31,900 pada sidang akhbar di pejabat Kastam Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 28 Mac - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri menahan seorang lelaki warga Filipina kerana dipercayai cuba menyeludup sejumlah 5.65 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM1.4 juta di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam di sini kelmarin.
Suspek berusia 28 tahun ditahan kira-kira pukul 1.40 petang ketika melalui laluan bas dan pejalan kaki kompleks itu setelah kandungan beg pakaian yang dibawanya didapati meragukan.
Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata, suspek sebelum itu menaiki pesawat dari Manila ke Bangkok dan kemudian menaiki bas menuju ke Hatyai sebelum masuk ke negara ini melalui sempadan Bukit Kayu Hitam.
"Hasil pemeriksaan ke atas beg pakaian lelaki berkenaan, JKDM menemui satu bungkusan berbalut pita pelekat mengandungi hablur kristal disyaki syabu yang disembunyikan pada bahagian dasar beg itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Kanan Pengarah Kastam Penguatkuasa negeri, Yusoff Ibrahim, Penguasa Kastam (narkotik) negeri, Jayadevan Naidu dan Pegawai Kanan Kastam (Narkotik) Alor Setar, Azizan Abdullah.
Menurutnya, harga bagi setiap satu kilogram syabu di negara ini dianggarkan kira-kira RM250,000.
"Suspek juga dikesan pernah masuk ke negara ini tiga kali iaitu melalui Semporna, Sabah dan dua kali melalui Bukit Kayu Hitam namun tidak pernah ditahan.
"Ini merupakan kejayaan dan rampasan JKDM yang terbesar sejak dua tahun lalu," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz memberitahu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan di jeti Pulau Langkawi kerana cuba menjual dadah di pulau pelancongan itu kelmarin.
Katanya, JKDM menemui sejumlah 106 gram dadah jenis heroin dan juga 1 gram syabu bernilai RM13,750 di dalam jaket yang dipakai lelaki terbabit.
Selain dua kes itu, Aziz memberitahu, JKDM turut menahan seorang lelaki warga India di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini kerana cuba menyeludup 2.9 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM31,900 semalam.
Katanya, suspek ditahan pada pukul 4.30 petang setelah ujian imbasan yang dibuat terhadap beg pakaian dibawanya mengandungi imej yang mencurigakan.
"Setelah diperiksa, pihak kami menemui satu lapisan papan pada lantai beg yang mana pada bahagian tengahnya disorokkan bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki ketamin," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment