Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

Jururawat terkejut duit gaji RM2,000 lesap

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA KANGSAR 28 Mac - Seorang jururawat yang hendak mengeluarkan wang gajinya sebanyak RM2,000 terkejut apabila mendapati duit itu lesap, dipercayai dicuri melalui perbankan Internet.
Noor Haslina Ngah Awi, 41, menyedari kehilangan wangnya ketika dia ingin mengeluarkan wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah cawangan bank berkenaan di sini pada Isnin lalu.
Dia terperanjat apabila mendapati jumlah wang dalam akaunnya hanya berbaki RM11.13.
"Saya bergegas ke pejabat bank tersebut di Kuala Kangsar untuk mendapatkan penyata kewangan dan diberitahu, wang saya dikeluarkan melalui perbankan Internet pada hari gaji saya dimasukkan.
"Saya jadi bingung apabila diberitahu wang itu mungkin dikeluarkan di Kuala Lumpur. Pihak bank pula tidak dapat mengesan siapa yang mengeluarkan wang itu tanpa pengetahuan saya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Noor Haslina memberitahu, tidak berpuas hati dengan penjelasan pihak bank, dia dan suami, Mohd. Jamili Ibrahim, 44, membuat laporan di Balai Polis Kuala Kangsar semalam.
Menurutnya, dia mengesyaki kejadian itu mempunyai kaitan dengan panggilan telefon yang diterimanya daripada seorang lelaki mendakwa pegawai sebuah syarikat telekomunikasi pada Disember lalu yang memberitahu dia memenangi wang tunai RM5,000.
Menurut Noor Haslina, lelaki itu meminta dia ke mesin ATM kononnya untuk proses memasukkan wang yang 'dimenangi' dan dia menuruti permintaan tersebut.
"Sampai satu ketika, saya mula ragu dan tidak meneruskan arahan yang diberi sebelum memberitahu lelaki itu agar memasukkan sahaja wang tersebut ke nombor akaun saya.
"Bagaimanapun, sehingga hari ini, wang RM5,000 yang dijanjikan tidak dimasukkan sebaliknya wang gaji saya pula yang lesap," jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Jamili yang juga bekas tentera berkata, pihak bank sepatutnya meningkatkan tahap keselamatan akaun pelanggan supaya tidak mudah terdedah dengan aktiviti penipuan Internet.
Katanya, pengeluaran wang melalui perkhidmatan Internet sepatutnya disahkan terlebih dahulu oleh pelanggan termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar pihak bank bagi mengelakkan sindiket penipuan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment