Search This Blog

Wednesday, March 21, 2012

Isteri enggan balik rumah nyaris disimbah asid

ARAU: Seorang isteri berusia 28 tahun nyaris menjadi mangsa simbahan asid suami sendiri selepas dia dikatakan enggan pulang ke rumah sebaliknya tinggal di rumah ibu bapanya di Kampung Baru, Guar Nangka, di sini, sejak beberapa bulan lalu.
Difahamkan, mangsa yang berkahwin dengan suspek berusia 28 tahun terselamat daripada simbahan asid selepas dia enggan membuka pintu rumah keluarganya yang diketuk lelaki itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Jumaat lalu, mangsa tidak membuka pintu yang diketuk berkali-kali oleh suaminya sebelum suspek yang berang menyimbah asid berkenaan pada motosikal milik mangsa. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa bernasib baik kerana tidak mengendahkan ketukan pintu berkenaan sebaliknya hanya duduk diam di dalam rumah. Katanya, selang beberapa minit, suspek berhenti mengetuk pintu sebelum mangsa membuka pintu rumah.

“Mangsa terkejut selepas mendapati komponen plastik bahagian depan motosikal miliknya yang diletakkan di depan rumah rosak dan cair selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid.

“Suspek berang selepas mangsa enggan membuka pintu sebelum mencurah cecair itu ke atas motosikal milik mangsa,” katanya. Mohd Nadzri berkata, sebelum ini pasangan berkenaan tinggal bersama di Kampung Chelom, dekat sini, sebelum mangsa melarikan diri ke rumah keluarganya selepas berlaku perselisihan faham di antara mereka.

“Sebelum ini, mangsa sudah beberapa kali menerima panggilan ugutan daripada suspek yang mengugut mencederakannya termasuk menyimbah asid ke muka.

“Mangsa yang dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan itu hidup tidak tenteram berikutan panggilan ugutan berkenaan sehinggalah tindakan terbaru suaminya menyimbah asid di motosikalnya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Arau sebelum polis menahan suspek jam 9.30 malam keesokan harinya.

Menurutnya, suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan khianat.

No comments:

Post a Comment