Search This Blog

Wednesday, March 21, 2012

Ibu terima panggilan anak selamat

Utusan Malaysia Online - Jenayah:



Nor Mala Mohd. Lazin memeluk Mohd. Shahmi Aiman Mahadi dan Siti Nurul Aishah yang kesedihan kerana kehilangan Siti Nur Fatihah (gambar kecil) di rumah mereka di Taman Tas, Kuantan, semalam.


KUANTAN 20 Mac - Ibu kepada seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang dipercayai diculik kelmarin menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa anaknya berada dalam keadaan selamat.
Menurut Nor Mala Mohd. Lazin, 34, lelaki yang dikenalinya itu menghubunginya kira-kira pukul 2 pagi dan memberitahu keadaan anaknya, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15.
"Lelaki itu mendakwa seorang wanita telah menghubunginya dan memberitahu anak mak cik berada di sebuah rumah ibu angkat seorang daripada mereka.
"Kata lelaki itu anak makcik akan pulang ke rumah 'esok-esok' kerana kehilangannya kini telah menjadi kes polis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tas di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Siti Nur Fatihah hilang dipercayai diculik ketika keluar bersama dua adiknya untuk membeli kad nilai tambah prabayar di sebuah kedai telefon bimbit berhampiran rumahnya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan itu keluar dari rumahnya pukul 12 tengah hari bersama dua adiknya iaitu Siti Nurul Aishah dan Mohd. Shahmi Aiman yang masing-masing berumur 11 tahun.
Nor Mala berkata, dia sempat memujuk lelaki berumur 20-an itu supaya supaya memaklumkan di mana Siti Nur Fatihah tinggal dan kereta jenis apa yang dinaiki mereka.
"Dalam perbualan kami selama dua jam, lelaki itu memberitahu dia serba salah untuk berterus-terang kerana dia juga ada kes dan tak mahu ada apa-apa rekod lagi," katanya.
Nor Mala berkata, dia juga tidak berasa anak sulungnya itu lari dari rumah memandangkan Siti Nur Fatihah seorang anak yang taat dan mengikut kata.
"Lagi pun, tiada motif Siti Nur Fatihah nak lari dari rumah, dia dengan saya macam kawan. Ke mana pergi mesti ditemani saya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff ketika dihubungi menyeru rakan Siti Nur Fatihah supaya segera memulangkan pelajar terbabit kepada keluarganya.
"Jika rakan pelajar terbabit takut hendak hantar kepada keluarganya, mereka boleh datang ke balai polis untuk selesaikan masalah ini.
"Bagaimanapun kes ini masih lagi disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik daripada penjaga yang sah," katanya.
Sementara itu di KOTA BHARU, polis meningkatkan sekatan dan pemeriksaan jalan raya di negeri ini bagi membantu mengesan Siti Nur Fatihah terutama laluan masuk ke sempadan negara jiran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tumpuan diberikan kepada kenderaan yang melalui kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
"Kami prihatin dan bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa dan juga keluarganya," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik Koperal Noor Afandi Nor Abidin yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment