Search This Blog

Wednesday, March 21, 2012

Hukum mati

SHAH ALAM: Seorang wanita Iran dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar lebih satu kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dekat sini, dua tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap penjual kain, Kobra Taba Seidali, 49, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Noor Azian berkata, mahkamah berpendapat keterangan tertuduh ketika membela diri tidak boleh dipercayai.

Sepanjang perbicaraan, seramai 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa mengedar 1.760 kilogram syabu di bahagian tuntutan bagasi, Aras 3, Balai Ketibaan KLIA, kira-kira jam 10.45 malam, 2 Disember 2010. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Berdasarkan keterangan saksi ketika perbicaraan, Kobra mendakwa dadah ditemui itu diletakkan oleh adik iparnya iaitu isteri kepada adik lelakinya. Menurutnya, dadah berkenaan diletakkan tanpa pengetahuan dalam begnya di sebuah lapangan terbang di Syria. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Zuraida Wan Nawan manakala tertuduh diwakili Salim Bashir yang menyebut bagi pihak peguam Hisyam Teh Poh Teik.

No comments:

Post a Comment