KUALA LUMPUR - Dr Hamimah Idruss, individu pertama di negara ini didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2011, dihukum penjara tiga tahun dan denda RM6,394,530.72 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta dan bersubahat memalsukan dokumen.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapi Dr Hamimah, 64, di akhir kes pembelaan.

Bagi lapan pertuduhan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2001, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan manakala bagi 10 tuduhan bersubahat, hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan hukuman penjara berjumlah 38 tahun.

Bagaimanapun, Dr Hamimah hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas Hakim Asmadi memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Dr Hamimah, bekas pengarah Syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, menghadapi lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta antara 3 Jun hingga 10 Jun 2003, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. - Bernama