Search This Blog

Friday, March 2, 2012

Bikin pekerja asing ketagih

myMetro | Bikin pekerja asing ketagih: RAMPAS...peralatan yang digunakan dalam perjudian bola golek dirampas.
RAMPAS...peralatan yang digunakan dalam perjudian bola golek dirampas.

SERDANG: Dengan hanya menggunakan peralatan paling ringkas dan murah, satu sindiket perjudian bola golek dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit untuk satu malam.

Sindiket itu hanya memerlukan peralatan seperti papan empat segi, bola getah, tikar getah yang dilukis beberapa simbol dan warna tertentu yang kosnya tidak sampai ratusan ringgit, tetapi memberi pulangan puluhan kali ganda. Mereka turut menjadikan pekerja warga Indonesia dan Bangladesh sebagai sasaran kerana mudah diperdaya selain hanya perlu mengeluarkan modal pusingan kecil sebelum diumpan kemenangan lumayan iaitu 10 kali ganda nilai taruhan jika menang menyebabkan mangsa ketagih. Kebiasaan sindiket terbabit bergiat aktif ketika mangsa menerima gaji dan berpindah-randah dari satu kongsi ke kongsi bagi mengelak dikesan polis.


Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, menahan tujuh kaki judi warga Indonesia dan Bangladesh berusia 20 hingga 40 tahun yang leka bermain judi bola golek di sebuah tapak pembinaan di Serdang Perdana, Seri Kembangan, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 9.30 malam itu, empat lelaki warga tempatan yang menjadi penganjur sindiket terbabit turut ditahan.


Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Serdang, Asisten Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya sudah melakukan intipan selama seminggu ke tapak pembinaan berkenaan selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan perjudian itu.


Menurutnya, dalam serbuan dengan disertai dua pegawai dan 10 anggota itu, polis merampas wang pertaruhan RM400 bersama beberapa peralatan perjudian.

“Siasatan awal, ahli sindiket terbabit sudah lebih sebulan beroperasi di kawasan itu dan menyasarkan pekerja tapak pembinaan berkenaan untuk main judi bola golek. “Wang taruhan minimum ialah 50 sen sehingga RM100 dan jika pemain memenangi permainan itu, mereka dibayar 10 kali ganda,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.


Basri berkata, kaki judi yang ditahan didapati mempunyai dokumen perjalanan sah dan bekerja di tapak pembinaan berkenaan.

“Semua mereka dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah perjudian Terbuka 1953. Serbuan ini adalah kali kedua. Sebelum ini, tempat ini diserbu awal tahun ini,” katanya.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment