PEKAN - Seorang bayi lelaki berusia dua minggu ditinggalkan di pintu masuk ruang solat sebuah masjid di Kampung Lamir di sini, hari ini.  

Bayi yang dalam keadaan sihat dan lengkap berpakaian itu ditemui oleh seorang penduduk kampung itu, Khasli Mohd Razali, 48, ketika mahu membuka pintu masjid untuk solat Subuh pada pukul 5.20 pagi.  

Sebuah beg berisi lampin pakai buang, beberapa helai baju, tisu basah dan botol susu yang masih berisi susu turut ditinggalkan berhampiran bayi itu.   

"Masa saya ingin membuka pintu, saya terdengar bayi menangis lalu mencarinya di sekitar perkarangan masjid. Saya kemudian terlihat seorang bayi diletakkan di perkarangan pintu ruang solat dan meminta pertolangan jiran yang tinggal di sebelah masjid untuk mengambilnya," kata Khasli.  

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, Khasli berkata beliau memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kemudian menghubungi polis.   

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan dan polis kini menjejaki ibu bayi itu.  

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama