Banjir landa tiga kampung
KUALA MEDANG - Hujan lebat selama tiga hari di Hulu Sungai Jelai dan Sungai Telom menyebabkan air Sungai Jelai naik mendadak seterusnya melimpahi tebing lalu menenggelami beberapa perkampungan berhampiran, dekat sini, pagi semalam.
Banjir itu juga menyebabkan seramai 120 penduduk daripada 21 keluarga di sini, Kuala Serau dan Bertang terputus hubungan berikutan jalan raya ke kampung berkenaan turut ditenggelami air.
Manakala, sebanyak 10 keluarga iaitu tiga di Kampung Kuala Medang dan tujuh di Kuala Serau kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir setelah rumah mereka ditenggelami air sedalam dua meter bermula jam 7 pagi semalam.
Sehubungan kejadian itu, seramai 12 anggota bomba, 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Lipis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta polis terbabit dalam operasi bantuan keselamatan dan pemindahan mangsa menggunakan bot.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail turut turun padang untuk meninjau keadaan kampung di persisiran sungai yang terbabit dalam kejadian itu serta menemui mangsa banjir.
Hadir sama, Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd Razaki Abd Razak.
Mohd Razaki berkata, air naik mendadak menyebabkan keluarga terbabit dipindahkan segera ke tempat selamat di balai raya kampung berkenaan.
“Sebanyak dua kedai makanan di Pekan Sehari Kuala Medang turut dinaiki air, manakala sebuah jeti pusat santuari ikan di Kuala Serau pula musnah dihanyutkan banjir,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu dengan menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di balai raya kampung berkenaan.
“Saya akan berbincang dengan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Bencana Alam (Banjir) untuk menimbang bantuan kecemasan kepada mangsa hari ini (semalam). Kerajaan Negeri sedia menimbang untuk membantu membaik pulih rumah mangsa apabila banjir surut,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Kampung Kuala Serau, dekat sini, semalam.
Sempena kunjungan itu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai turut memberi sumbangan bantuan daripada Pejabat Dun berkenaan bernilai RM300 kepada setiap ketua keluarga terbabit.
Mereka yang tinggal berdekatan sungai dinasihati mengawasi anak masing-masing pada cuti persekolahan kali ini dan memastikan mereka tidak main air atau mandi di sungai berarus deras.