Search This Blog

Saturday, March 17, 2012

Acu pisau dekat leher

Acu pisau dekat leher - Utara - Sinar Harian:

Acu pisau dekat leher


SIDAM KIRI – Dua saudara nyaris maut apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau ketika menghadiri majlis kenduri yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari rumah mereka dalam kejadian jam 1.15 tengah hari Rabu lalu.


Siti Zabedah Abd Wahab, 48, dan kakak ipar, Normah Ramli, 62, menaiki motosikal untuk ke rumah kenduri bersama dua abang dan pasa­ngan­ masing-masing.


Namun, kedua-dua abangnya bersama isteri masing-masing sudah berlalu terlebih dahulu sementara mereka berdua berada di belakang.


Zabedah berkata, sampai di hujung jambatan yang menghubungkan Kampung Pantai Prai, Sidam Kiri dan Kampung Terat Batu, Padang Serai, dua lelaki menaiki sebuah motosikal siap sedia menunggu.


“Pada mulanya, kami ingat mereka orang biasa kerana melalui pakaian dan luaran nampak seperti orang baik serta tidak menyangka kedua pemuda itu adalah peragut,” katanya kepada Sinar Harian.


Zabedah berkata, suspek berusia 20-an itu cuba melaga-lagakan kedua-dua motosikal dan sebaik sahaja memberikan arahan supaya berhenti, pembonceng motosikal terus mengacukan pisau ke arah lehernya.


“Manakala penunggang pula turun dari motosikal dan bergelut dengan Normah. Ketika itu saya hanya ingat mati sahaja manalah tahu sekiranya pisau terus dicucuk ke leher, dalam masa sama, tudung saya diselak namun mujur rantai leher terletak agak tersembunyi di sebalik baju kurung,” katanya.


Normah berkata, dia bertekad melawan seorang suspek apabila tudungnya diselak dan rantai leher diragut dalam insiden yang berlaku kurang lima minit itu.


“Walaupun dalam keadaan cemas, saya tetap bergelut kerana geram melihat rantai leher bersama loket bernilai kira-kira RM6,000 yang berada dalam tudung diragut dengan mudah,” katanya.


Menurutnya, keadaan sekitar yang sunyi dengan ketiadaan pengguna lain diambil kesempatan kedua suspek untuk melakukan jenayah.


“Kami sering dengar ada kes kena ragut di jambatan terbabit namun tidak sangka kejadian sama berlaku kepada diri sendiri,” katanya.


Normah berkata, walaupun kedua-dua mereka menjerit dan meronta supaya tidak dilakukan sebegitu, namun jeritan itu tidak dapat membantu kerana jambatan terletak jauh dari rumah penduduk.


“Suspek cuba acu pisau kepada saya pula apabila cuba menghalang mereka melarikan diri bersama barang ragut,” katanya.


Menurutnya, kedua-dua suspek memakai topi keledar, berkulit cerah dan berpakaian kemas dan dipercayai datang dari luar.


Katanya, perasaan berat hati kedua-dua mangsa untuk ke majlis kenduri menunjukkan petanda buruk bahawa mereka menjadi mangsa ragut.


Akibat kejadian, Zabedah mengalami lebam di lengan kiri manakala Normah tidak mengalami sebarang kecederaan.


Laporan polis berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Padang Serai pada hari kejadian.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment