Search This Blog

Saturday, March 17, 2012

‘Abang Kassim dah meninggal’

myMetro | ‘Abang Kassim dah meninggal’:KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam diberitahu bahawa orang tengah yang membantu memberi maklumat dalam aktiviti jual beli bayi dijalankan sebuah hospital swasta, dikenali sebagai ‘Abang Kassim’ sudah meninggal dunia awal tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail ketika memohon kepada mahkamah supaya rakaman keterangan lelaki itu yang dibuat ketika proses siasatan oleh pegawai penyiasat diambil kira dan dikemukakan mengikut Seksyen 32(1)(i) Akta Keterangan 1950.



Bagaimanapun, Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menolak permohonan berkenaan.




Menurut Nor Amalina, sapina untuk memanggil ‘Abang Kassim’ ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes seorang jururawat swasta, Gulab Jan Abdul Jabir, 50, yang didakwa memperdagangkan bayi, gagal diserahkan kepadanya.



“Pada 14 Februari lalu, saya mengarahkan pegawai penyiasat mencarinya (Abang Kassim) di rumahnya dan menemui isteri arwah yang mengesahkan dia sudah meninggal dunia pada 20 Januari 2012.



“Carian diteruskan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan sijil mati diperoleh, sekali gus mengesahkan kematiannya,” katanya.




Gulab Jan didakwa di mahkamah pada 16 Jun tahun lalu, atas tuduhan memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan bagi tujuan eksploitasi di sebuah hospital swasta pada jam 2.10 petang, 1 November 2010.



Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.






Sementara itu, pegawai penyiasat kes terbabit, ketika pemeriksaan balas oleh peguam yang mewakili Gulab Jan, Gerard Lazarus berkata, kira-kira 13 hingga 14 bayi sudah terbabit dengan aktiviti jual beli yang dijalankan hospital berkenaan.



Menurut saksi, hasil siasatan yang dibuat, ada ibu bapa kandung bayi terbabit yang dapat dikenal pasti dan sudah disiasat secara berasingan oleh pegawai penyiasat lain, manakala ibu bapa asal bayi yang lain belum dapat dikesan.



Dia yang juga saksi pendakwaan terakhir itu berkata, ketika serbuan dibuat, hospital berkenaan ada membuat permohonan lesen perniagaan, tetapi masih belum diluluskan.



Namun, katanya, mengikut semakan yang dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hospital berkenaan sudah didaftarkan sejak 12 Ogos 1986 dengan dua orang pemegang saham.



Perbicaraan bersambung 23 Mac ini.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment