Search This Blog

Friday, March 2, 2012

3 didakwa jual tiket tak sah

myMetro | 3 didakwa jual tiket tak sah: KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang wanita yang juga pekerja syarikat bas ekspres dihadapkan di tiga Mahkamah Majistret berlainan di sini, semalam atas tuduhan menawarkan tiket kepada penumpang secara tidak sah, tahun lalu.

Nur Syafika Ramlan, 21, Azlan Hassan, 35, dan Hendri Sharil, 20, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.


Nur Syafika yang bekerja sebagai kerani kaunter didakwa menawarkan tiket dengan memujuk serta mendesak bagi mendapatkan penumpang kenderaan perkhidmatan awam di Terminal Pudu Sentral, jam 2.30 petang, 19 September 2011.

Manakala, Azlan dan Hendri yang bertugas sebagai pemeriksa tiket bas pula didakwa melakukan perbuatan sama di hentian bas berkenaan masing-masing pada jam 9 malam dan 7 petang, 24 Ogos, tahun lalu.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan Nur Syafikah diikat jamin suaminya berjumlah RM5,000 dan menetapkan 2 April depan bagi sebutan semula kes.

Di mahkamah lain, Majistret Suzarika Sahak membenarkan Hendri diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 29 Mac ini.


Sementara itu, bagi Azlan, Majistret Nur Azura Murah membenarkannya diikat jamin RM5,000, namun menetapkan tarikh 19 Mac ini bagi tertuduh mengemukakan penjamin ke mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Nor Shahkierra Abd Manan, Ikhlasmurni Ahmad dan Nurul Adani Yasid, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.


Pada prosiding semalam, turut hadir ke mahkamah, Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment