PUTRAJAYA 30 Mac – Seruan Gemilang Makmur Sdn. Bhd. (SGM) semalam gagal dalam usahanya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang membenarkan tuntutan balas Badan Perhubungan UMNO Pahang berhubung perjanjian pengeluaran kayu balak di tanah milik parti itu.
Ia berikutan keputusan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie yang bersidang bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Wira Mohtarudin Baki yang menolak rayuannya secara sebulat suara.
Dengan keputusan itu, syarikat pembalakan tersebut selaku perayu perlu membayar jumlah ganti rugi yang ditaksirkan mencecah RM70 juta termasuk faedah.
Panel itu berpuas hati bahawa tiada kebenaran diperoleh SGM untuk mengeluarkan kayu balak dari Blok A2, Nenasi, Pekan.
SGM merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 16 Jun tahun lalu yang membuat keputusan memihak kepada Badan Perhubungan UMNO Pahang ketika membenarkan tuntutan balasnya.
Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan bahawa perjanjian bertarikh 2 Oktober 2000 di antara responden dengan syarikat pembalakan tersebut adalah terbatal dan tidak sah.
Ketika membenarkan tuntutan balas Badan Perhubungan UMNO Pahang, hakim tersebut turut berpuas hati bahawa hanya isu ganti rugi yang akan ditaksirkan.
Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun mengemukakan tuntutan balas bagi mendapatkan perisytiharan bahawa perjanjian itu terbatal dan tidak sah.
Responden turut menuntut agar keuntungan dan faedah yang ditaksirkan sebanyak RM1.5 juta yang diperoleh oleh SGM berikutan pengeluaran balak di kawasan seluas 404.7 hektar, dikembalikan kepada responden.
Badan Perhubungan UMNO Pahang diwakili oleh peguam-peguam Toh Seng Soon, Ong Siew Wan dan Wong Fook Yong manakala SGM diwakili oleh Datuk Harpal Singh Grewal.
'via Blog this'