Search This Blog

Saturday, February 25, 2012

Tiga penyamun ditembak mati

Polis mengusung mayat penjenayah mati di Banting.

BANTING – Tiga daripada lima penjenayah yang menyamun sebuah kedai emas, ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Sentosa, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.05 petang itu, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian samun tersebut, terserempak dengan kereta jenis Vios dinaiki suspek.

“Polis bertindak mengejar kenderaan tersebut sejauh dua kilometer dari lokasi samun sebelum kereta terbabit terbabas.

“Tiga lelaki kemudian kelu­ar dari kereta itu dan melepaskan empat das tembakan. Polis terpaksa membalas tembakan dalam usaha menyelamatkan diri dan tiga daripada mereka berjaya ditembak mati di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nodin Manan.

Menurutnya, dua daripada penjenayah terbabit bagaimana pun berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran dan usaha memburu mereka giat dijalankan.

Mohd Adnan berkata, polis turut menemui kenderaan jenis Proton Perdana dipercayai sengaja ditinggalkan penjenayah terbabit di kawasan tersebut sebagai kenderaan ganti bagi mengaburi pihak polis.

Siasatan mendapati, kereta Proton Perdana adalah kenderaan yang dicuri di Kelana Jaya.

“Polis turut menemui dua pucuk pistol, tiga butir peluru hidup, tiga kelongsong peluru, sebilah parang dan barang kemas dalam kereta Vios terbabit.

“Sebahagian barang kemas disamun kumpulan itu turut ditemui dalam poket salah seorang penjenayah. Kerugian dianggarkan RM150,000. Siasatan turut mendedahkan kumpulan penjenayah itu terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata api di Segamat, Johor, Tampin, Negeri Sembilan dan Banting,” katanya.

Adnan berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada suspek mati ditembak, dikenal pasti sebagai PCO (orang sekatan di bawah Ordinan Darurat) dari Tumpat dan Banting.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu kejayaan yang dicapai oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, sekali gus berjaya menyelesaikan beberapa kes yang berkaitan.


Tiga penyamun ditembak mati - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment