Search This Blog

Thursday, February 2, 2012

Solat hajat minta pelaku diberi pedoman


KUALA LUMPUR: Pentadbir dan Jawatankuasa Masjid Nurul Iman Rawang (MNIR) menganjurkan siri Munajat dan Solat Hajat meminta supaya si pelaku meletak kepala babi di tangga pintu masuk utama masjid berkenaan kelmarin, diberi pedoman.
Nazir MNIR, Ilham Akhbar Harun berkata, meskipun kesal, dengan tindakan itu, namun pihaknya tidak mahu mengeruhkan suasana harmoni sedia ada selain yakin kredibiliti polis menyelesaikan isu berkenaan.

“Seluruh anak kariah dan umat Islam amat terkejut, malah kita berpendapat ia (kepala babi) barangkali sengaja diletakkan agar berlakunya permusuhan kaum dan ketegangan agama.
“Kita kesal kerana insiden ini tak sepatutnya berlaku di masjid iaitu rumah Allah, justeru, kami membantah tindakan biadab ini dan sama sekali tidak akan menyokong sebarang provokasi sempit yang boleh mengeruhkan lagi suasana harmoni sedia ada.

“Kepada seluruh anak kariah, kami berharap agar mereka dapat bertenang kerana sejarah membuktikan ia bukan kejadian pertama berlaku dan pihak berwajib membuktikan kejayaan mereka menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Ilham Akhbar memberitahu, pihak masjid tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan daripada mana-mana pihak yang bertentangan dengan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak melupakan sengketa yang sengaja ditimbulkan bagi meresahkan kehidupan sebagai Muslim, sebaliknya mereka terus beramai-ramai melaksana dan mengimarahkan rumah Allah.

“Siri Munajat dan Solat Hajat ini agar si pelaku diberi hidayah dan keharmonian kaum dapat dikekalkan. Sesungguhnya kami cinta kepada kedamaian dan yakinlah setiap kejadian menimpa itu ada hikmah-Nya,” katanya. Sementara itu, kerajaan Selangor menawarkan ganjaran wang tunai RM10,000 kepada individu yang dapat memberikan maklumat hingga tertangkapnya pihak yang menggantung kepala babi di pintu masuk utama MNIR kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Rodziah Ismail berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi menerusi pusat khidmat pelanggan di talian 1800-888-2824 bagi menyalurkan maklumat.myMetro | Solat hajat minta pelaku diberi pedoman:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment