Search This Blog

Saturday, February 25, 2012

Polis kenal pasti dalang atur perlawanan


JOHOR BAHRU 24 Feb. – Polis negeri ini mengenal pasti dalang yang terlibat mengatur perlawanan bola sepak membabitkan enam pemain Piala Presiden Johor FC yang dipercayai mempunyai jaringan dengan bookie antarabangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, ia adalah hasil siasatan pasukan khas diketuai oleh seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Komisioner yang ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut.

Menurutnya, pada siasatan dijalankan dari pelbagai sudut memandangkan pihak polis percaya ia merupakan satu rangkaian yang besar melibatkan bookie bertaraf ‘ikan bilis’ dan ‘jerung’.

“Pasukan khas itu sudah pun mula bekerja dan kita telah mengenal pasti beberapa dalang dan memang mereka ini ada jaringan antarabangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes enam pemain Piala Presiden Johor FC yang digantung serta-merta setelah kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang, Khamis lalu.

Pada perlawanan tersebut, pasukan Johor FC menang dengan jaringan 3-0. Pihak pengurusan kelab itu membuat laporan polis mengenai kes tersebut pada 18 Februari lalu.

Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan bagi menangani kegiatan itu dan memberkas golongan yang terlibat.

“Bagi para pemain saya nasihatkan mereka supaya menghormati undang-undang dan mainlah bola dengan penuh tanggungjawab. Bagi para penonton pula, diingatkan supaya jangan memberi ruang untuk perkara seumpama itu berlaku,” katanya.


Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment