Search This Blog

Thursday, February 2, 2012

Peniaga jual samsu pada Thaipusam hadapi tindakan polis


GEORGE TOWN: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang menjual samsu sepanjang perayaan Thaipusam di Pulau Pinang minggu depan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng, berkata polis akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan tiada penjualan samsu sepanjang tempoh perayaan kaum Hindu itu.

Katanya kastam akan menempatkan anggotanya di laluan dan kawasan yang akan dilalui penganut Hindu untuk merayakan Thaipusam bagi memeriksa setiap gerai untuk menguatkuasakan larangan penjualan samsu.

"Polis memandang serius perkara itu dan memberi amaran akan menahan mereka yang menjual samsu.

"Dalam mesyuarat baru-baru ini, kastam juga memaklumkan sedia untuk menguatkuasakan larangan menjual samsu dan kita akan membantu pihak kastam bagi memastikan tiada peniaga menjualnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Gan berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar bahawa Persatuan Hindu Sangam Malaysia mahu penjualan samsu diharamkan sepanjang perayaan Thaipusam 7 Februari ini bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Menurut persatuan berkenaan kebanyakan anak muda yang minum arak itu dikatakan gagal mengawal emosi akibat mabuk.

Selain itu pengharaman berkenaan juga sebagai menghormati perayaan yang disambut oleh penganut Hindu.

Gan berkata polis akan mengetatkan kawalan keselamatan bagi mencegah jenayah dengan menempatkan anggota-anggotanya yang berpakaian preman dan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik.

Katanya kira-kira 2,000 anggota polis akan ditugaskan di Pulau Pinang bagi mengawal keadaan sepanjang perayaan Thaipusam.

Orang ramai yang memerlukan bantuan polis ketika kecemasan boleh menghubungi talian 04-2282222, 04-2181880, 04-2181881 atau 04-2181905. - BernamamyMetro | Peniaga jual samsu pada Thaipusam hadapi tindakan polis:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment