Search This Blog

Saturday, February 25, 2012

Pengarah penjara Bali dipecat gagal kawal rusuhan



SEKUMPULAN banduan berdiri di menara peninjau yang dikuasai mereka di penjara Kerobokan selepas merusuh di Bali, semalam. – REUTERS


DENPASAR 24 Feb. - Pengarah penjara Kerobokan, Bowo Nariwono dipecat hari ini berikutan kegagalan mengawal rusuhan di pusat tahanan itu yang tercetus sejak dua hari lalu, sehingga mengakibatkan huru hara selama dua malam berturut-turut.

Jurucakap Kementerian Perundangan dan Hak Kemanusiaan di Bali, Komang Gede Tri Utama Aria berkata, tempat beliau digantikan oleh bekas pengarah penjara kedua terbesar Bali, Karangsem, Gusti Ngurah Wiratna.

"Satu upacara penyerahan kuasa telah diadakan di kediaman rasmi pegawai penjara pagi ini," katanya seperti yang dipetik kompas.com hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya turut memecat Pengarah Keselamatan Penjara, Anang Khuzaimi dan beliau digantikan oleh Pengarah Keselamatan Juvana Karangasem, Wayan Agus Miardi.

Nariwono yang baru dilantik ke jawatan tersebut bulan lalu, tidak mengulas lanjut tentang pemecatannya.

Sementara itu, banduan asing yang semalam dibawa keluar dari lokasi rusuhan ke sebuah pusat tahanan lain, hari ini dipindahkan semula ke penjara Kerobokan atas permintaan mereka.

Jurucakap pegawai pemerintah tentera wilayah, Wing Handoko berkata, kira-kira 12 pesalah asing yang dipindahkan dari Kerobokan, dibawa kembali ke penjara tersebut malam tadi.

"Satu pertemuan telah diadakan malam tadi di antara banduan dengan kakitangan konsulat dari setiap negara dan pesalah memberitahu mereka mahu kembali ke Kerobokan.

"Banduan berkata, mereka tidak mahu dipindahkan kerana perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baru serta banduan lain," katanya.

Handoko tidak menyatakan kerakyatan banduan terbabit, namun 12 rakyat Australia yang disabit kesalahan atas dakwaan dadah merupakan antara 1,105 tahanan yang ditempatkan di Kerobokan, penjara yang pada asalnya hanya mempunyai kapasiti 300 banduan. - AGENSI/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment