KUALA TERENGGANU - Sebuah unit pangsapuri di Wisma Tenang di sini terbakar ketika penghuninya keluar untuk bersarapan pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 10.15 pagi di tingkat enam pangsapuri berkenaan.

Penghuninya Tan Choon Hiong, 52, berkata beliau bersama suaminya, Yeo Chin Meng, 56, seorang akauntan dan dua anak mereka keluar untuk makan.
"Kami pulang sejam kemudian kerana saya sakit perut. Sebaik kami menghampiri kawasan rumah kami, kami nampak orang ramai berkumpul di situ dan terdapat juga kereta bomba.
"Bila betul-betul sampai, baru saya tahu rumah saya yang terbakar. Jiran beritahu bomba sedang memadam kebakaran di rumah saya. Saya terkejut kerana sebelum kami keluar, keadaan rumah saya macam biasa sahaja," katanya kepada pemberita.
Tan berkata hampir 70 peratus kediamannya hangus.
Penolong Pengarah Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Mohd Zulkhairul Mohd Razilah berkata kebakaran dipercayai bermula dari dalam bilik tidur utama dan dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Katanya lima jentera bomba bersama 27 anggota dan tiga pegawai dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira 10 pagi dan api dapat dikawal daripada merebak dalam masa setengah jam.