Search This Blog

Wednesday, February 22, 2012

Mangsa asid jalani pembedahan Khamis ini, polis tahan seorang lagi


KEADAAN terkini Mohd. Fazil Hanafi yang masih terlantar selepas mendapatkan rawatan di wad akibat terkena simbahan asid di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 21 Feb. - Dua sahabat yang menjadi mangsa simbahan asid di Kampung Padang Mercang Marang Ahad lalu, akan menjalani pembedahan bagi menampal kulit baru Khamis ini.
Keadaan Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, dan Shahrulzaman Salim, 38, kini dilaporkan semakin stabil namun mereka berdua yang ditempatkan di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) enggan bercakap mengenai kejadian itu.
Menurut bapa kepada Mohd. Fazil, Idrus Mat Nor, 54, anaknya itu bakal dibedah bagi membolehkan lapisan kulit paha diambil untuk menampal sebahagian anggota badannya yang melecur teruk.
"Doktor bagi tahu mungkin tiga hari lagi Mohd. Fazil akan dibedah dan dia juga tidak kisah. Buat masa ini dia enggan bercakap mengenai kejadian itu dan lebih banyak mendiamkan diri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Idrus lagi, isterinya, Zaleha Ishak, 45, juga tidak membenarkan anaknya itu melihat cermin bagi mengelakkan emosi mangsa terganggu.
"Biarlah jangan bagi dia tengok cermin dulu. Kasihan pula kalau dia tidak boleh terima keadaannya. Insya-Allah lepas pembedahan nanti kita tengoklah macam mana," ujarnya.
Dalam pada itu, ujar Idrus yang kini membantu isterinya berniaga, anaknya itu dijangka ditempatkan di hospital selama dua bulan lagi bagi membolehkan dia mendapat rawatan susulan.
"Anak saya tidak menonjol dalam pelajaran namun dia berminat membaiki kenderaan," jelasnya yang merupakan bapa kepada tujuh anak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, pihaknya menahan seorang lagi individu berusia 26 tahun pukul 4.30 petang semalam di sebuah tempat cuci kenderaan di Kampung Padang Mercang.
"Individu yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu ditahan bagi membantu siasatan memandangkan dia juga dikenali salah seorang mangsa simbahan asid itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 19 Februari lalu, Mohd. Fazil Hanafi yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan rakannya, Shahrulzaman Salim, 38, melecur di muka dan badan akibat disimbah asid ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Padang Mercang.
Dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, kedua-duanya disimbah asid melalui tingkap yang terdapat pada bilik tidur mereka, dipercayai dilakukan individu tidak dikenali.
Berikutan itu, polis menahan seorang nelayan dan penganggur semalam, bagi membantu siasatan kes tersebut dan siasatan setakat ini tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan cemburu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment