Search This Blog

Saturday, February 4, 2012

Bekas ketua S21 dipenjara seumur hidup





2012/02/04

Kaing Gek Eav
Kaing Gek Eav
Hakim ubah hukuman tak sepadan jenayah kemanusiaan 

PHNOM PENH: Pemimpin kanan gerila Khmer Rouge yang menguruskan kematian 15,000 penduduk Kemboja dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semalam, menamatkan kes yang dibicarakan oleh mahkamah negara itu yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mangsa yang terselamat daripada keganasan rejim itu menyambut baik keputusan menambah hukuman asal 30 tahun yang dikenakan pada tahun 2010 ke atas Kaing Guek Eav, lebih dikenali sebagai Duch, kerana jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan.
Hakim berkata, hukuman awal yang diberikan kepada bekas ketua penjara S-21 itu tidak mencerminkan kekejaman jenayah yang dilakukan pada lewat tahun 1970-an. 

“Jenayah Kaing Guek Eav adalah antara terburuk dalam sejarah manusia. Hukuman paling berat sepatutnya dikenakan,” kata presiden badan rayuan tertinggi mahkamah, Kong Srim. 

Memakai baju putih dan jaket krim, bekas guru matematik berusia 69 tahun itu, duduk di dalam kandang ketika keputusan dibacakan. Dia merayu dibebaskan atas alasan cuma mengikut arahan tetapi pendakwa juga merayu dengan mengatakan hukuman asal tidak cukup. 

Keputusan itu melegakan beratus-ratus rakyat Kemboja, termasuk sami dan mangsa terselamat daripada kekejaman rejim itu, yang memenuhi galeri awam mahkamah Phnom Penh untuk menyaksikan kesudahan kes Duch. 
“Saya gembira sekarang. Akhirnya ada keadilan untuk mangsa. Saya lega sekarang,” kata Kim Huoy, yang kehilangan 19 anggota keluarga ketika pemerintahan Khmer Rouge, termasuk suami dan ibu bapanya. 

Diketuai Pol Pot yang meninggal dunia pada 1998, Khmer Rouge bertanggungjawab melakukan antara kezaliman paling ngeri abad ke-20, membunuh sehingga dua juta penduduk akibat kebuluran, beban kerja keterlaluan dan pembunuhan. 

S-21 juga dikenali sebagai penjara Tuol Sleng, adalah pusat keselamatan Khmer Rouge dan ribuan banduan diambil dari situ untuk dibunuh di ladang berhampiran dikenali sebagai Killing Field. 

Duch adalah anggota Khmer Rouge pertama diadili tribunal antarabangsa. 
Perbicaraannya menarik minat penduduk negara itu yang masih dihantui kekejaman Khmer Rouge. Penghakiman itu disiarkan secara langsung menerusi televisyen. 

Keputusan awal menaikkan kemarahan mangsa kerana ia bermakna Duch bebas tidak sampai 18 tahun dipenjarakan. Ketika perbicaraan selama sembilan bulan, Duch berulang kali meminta maaf. 

Dalam rayuannya, Duch memberitahu mahkamah dia selamat kerana mengikut arahan tetapi pendakwa berkata permintaannya supaya dibebas sepenuhnya menunjukkan Duch tidak kesal dengan perbuatannya. – AFP 

No comments:

Post a Comment