Search This Blog

Thursday, February 2, 2012

14 unit rumah pangsapuri Taman Semarak 2, Nilai musnah dijilat api


SEREMBAN: Sebanyak 14 unit rumah yang tidak dihuni di tingkat empat Blok 16, Pangsapuri Taman Semarak 2, Nilai, dekat sini musnah dalam kebakaran malam semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira 7.45 malam itu dikatakan berpunca daripada sebuah rumah di tingkat empat pangsapuri berkenaan sebelum merebak ke unit rumah lain.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Nilai, Zainal Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 8.26 malam dan menurutnya kesemua unit rumah di tingkat empat pangsapuri berkenaan tidak dihuni.

Katanya, tiga jentera bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Nilai dan Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian selain lori tangki dari Balai Bomba Seremban 2 bagi memadamkan kebakaran di pangsapuri empat tingkat tersebut.

"Dalam kejadian ini 14 buah rumah di tingkat empat telah musnah dijilat api manakala sebuah rumah lagi yang berada di tingkat tiga hanya mengalami kebakaran di bahagian bilik, dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Zainal berkata, pihak bomba menghadapi sedikit kesukaran semasa cuba mengawal kebakaran ekoran keadaan angin yang kencang sekaligus menyebabkan api marak dengan cepat.

Katanya, tekanan air yang rendah juga menyukarkan kerja-kerja pemadaman api dilakukan sebelum keadaan berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian.

Zainal berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu.

Sementara itu, seorang saksi yang ditemui, Abd Razak Nasir, 55, yang tinggal di tingkat tiga pangsapuri berkenaan memberitahu, kejadian berlaku amat pantas dan api merebak dengan cepat ke beberapa buah unit rumah.

"Api merebak dengan cepat kerana angin yang bertiup kencang dan orang ramai yang menghuni kediaman masing-masing lari menyelamatkan diri dan saya kemudiannya menghubungi pihak bomba," katanya. - BernamamyMetro | 14 unit rumah pangsapuri Taman Semarak 2, Nilai musnah dijilat api:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment