Search This Blog

Saturday, January 21, 2012

Wanita trauma disamun 4 lelaki berparang

TAMPIN: Seorang wanita yang juga pengedar barang kemas menempuh detik menakutkan apabila disamun empat lelaki bersenjatakan parang di depan rumah pelanggannya di Taman Colonlee 2, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 40-an berkenaan bukan saja kehilangan barang kemas dipakainya, malah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora miliknya turut dilarikan penjenayah terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang berkata, sejurus mangsa turun dari kereta di depan rumah pelanggannya, muncul empat lelaki yang terus meragut barang kemas dipakainya termasuk seutas rantai leher dan gelang tangan.

“Seorang penyamun itu merampas kunci kereta mangsa dan melarikan kenderaan terbabit manakala tiga lagi penjenayah meloloskan diri menaiki dua motosikal.

“Mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, bertindak atas laporan itu, pihaknya diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Mohamad Safari Sidik menjalankan gerakan memburu suspek, jam 12.30 pagi semalam.


“Polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dipercayai boleh membantu siasatan,” katanya.

Mohd Isa berkata, orang ramai mempunyai maklumat kejadian itu atau melihat kereta Proton Exora kelabu dengan nombor pendaftaran NCM5001 boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin menerusi talian 06-4411221/06-4411222 atau balai polis berdekatan.

No comments:

Post a Comment