Wanita jadi hamba seks

KOTA BHARU -Tindakan seorang wanita warganegara Indonesia melarikan diri daripada majikan akhirnya membawa padah apabila dia terpaksa menjadi hamba seks kepada pengutip kotak yang ditemuinya tujuh bulan lalu.

Perbuatan sumbang lelaki warga emas yang mempunyai isteri itu akhirnya terbongkar dan dia dicekup pihak berkuasa Rabu lalu.

Suspek yang berusia 61 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis lalu selepas ditangkap dalam serbuan di sebuah pondok usang dekat sini.

Lelaki terbabit ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 24 tahun itu kerana tidak tahan dengan perbuatan suspek bertindak mengurungnya selain mengadakan hubungan seks bagi memuaskan nafsunya.
Difahamkan, sebelum suspek merogol mangsa, dia terpaksa menelan pil atau minum minuman keras untuk menguatkan nafsu seksnya.

Lebih kejam, warga emas terbabit merogolnya empat kali seminggu dan dikatakan melampiaskan nafsu serakahnya di dalam sebuah bangsal uzur terletak berhampiran kubur untuk mengelak diketahui isterinya. Mangsa yang dipercayai melarikan diri daripada majikannya di Wakaf Bharu, Tumpat, mengadu dirogol berkali-kali oleh warga emas terbabit sejak Jun tahun lalu.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mahu menyerahkan diri di pejabat Imigresen di Jalan Telipot dan terserempak dengan suspek yang mengutip kotak di kawasan itu sebelum dibawa ke beberapa buah rumahnya di sekitar Kota Bharu sejak Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan menahan suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.