Search This Blog

Sunday, January 8, 2012

Tukang masak cedera terkena tembakan


KOTA BHARU 7 Jan. - Seorang tukang masak warga Thailand cedera akibat terkena satu daripada tiga das tembakan di sebuah kedai makan di Kampung Binjai, Kedai Mulong, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Mohd. Shari Yusof, 32, memunggah barang dari van majikannya sebelum dihampiri sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga suspek.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, majikan mangsa mendakwa sebelum kejadian, dia baru pulang dari membeli barang di Terminal Agribisnes Negara (TEMAN).

"Majikannya perasan ada kereta mengekorinya dan apabila tiba di hadapan kedai, mangsa datang memunggah barang bagi tujuan dibawa masuk ke dalam premis.

"Ketika itulah kereta dinaiki suspek menghampiri kedainya sebelum tembakan dilepaskan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati mangsa yang baru seminggu bekerja di kedai makan itu mempunyai dokumen lengkap.

Katanya, suspek dipercayai menggunakan pistol jenis Revolver .38 berdasarkan penemuan kelongsong peluru di tempat kejadian.

"Motif kejadian dipercayai disebabkan dendam kerana majikan mangsa sebelum ini dipercayai pernah berselisih faham dengan suspek berkenaan urusan perniagaan.

"Kita sudah mengenal pasti ketiga-tiga suspek dan gerakan memburu dijalankan. Siasatan juga dilakukan untuk mengenal pasti suspek yang melepaskan tembakan.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun," ujarnya.Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment