kemalangan kereta

MARANG – Seorang pemuda maut manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah kereta terbabas merintangi jalan sebelum dirempuh sebuah lagi kenderaan di Kilometer 36.5, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di selekoh Serating di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Mohd Tarmizi Mohamad, 29, yang beralamat dari Kampung Teluk Pasu, Manir, Kuala Terengganu itu disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospitak Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Dua lagi rakan mangsa yang menaiki Proton Wira Aeroback mengalami kecederaan pada badan, kaki dan tangan manakala pemandu Perodua Alza, Efendi Arif, 28, bersama enam lagi ahli keluarganya cedera seluruh anggota badan.

Difahamkan mangsa maut adalah penumpang Proton Wira Aeroback yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Kereta itu terbabas dan merintangi jalan sebelum dirempuh Perodua Alza dipandu Efendi dari arah bertentangan.

Sementara itu, Efendi yang bersama ibunya, Wan Zaharah Wan Mohamad, 51, kakaknya, Maswina Arif, 29, dan isterinya, Noradia Che Kadir, 26, serta tiga kanak-kanak dalam perjalanan ke pusat bandar raya Kuala Terengganu untuk bersiar-siar.
“Abang tidak sempat brek”

Saksi kejadian, Abu Zaifah Arif juga merupakan adik kepada Efendi berkata, ketika tiba di tempat kejadian, abangnya terkejut apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lelaki terbabit yang berada di laluan kanan tiba-tiba membelok ke laluan kiri.

“Pemandu kenderaan itu dipercayai terbabas dan kereta itu merintangi jalan. Berikutan kejadian itu abang saya tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian tengah kereta itu,” katanya yang berada di hadapan tidak jauh dari lokasi kejadian di sini, semalam.

Akibat rempuhan kuat itu, kesemua penumpang Perodua Alza dikatakan terhumban ke hadapan manakala pemandu dan dua penumpang Proton Wira Aeroback mengalami kecederaan pada anggota badan akibat rempuhan kuat kenderaan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Mohd Zamri Awang Long berkata, seorang pegawai dan lima anggota berusaha membantu kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.57 pagi.

Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke HSNZ, Kuala Terengganu dan ke klinik kesihatan berdekatan untuk rawatan lanjut sebelum mangsa maut yang beralamat dari Kampung Teluk Pasu, Manir itu disahkan meninggal dunia.