Rumah disimbah petrol

MUAR - “Saya tidak tahu siapa yang buat dan apa motifnya,” kata Zukri Abu Bakar, 45, selepas kediamannya disimbah minyak petrol dan dibakar pada pagar rumah di Taman Sri Pagoh, Pagoh di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada anak lelaki sulungnya, Mohd Amir, 15, pada kira-kira jam 11 malam.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana menghadiri mesyuarat di surau taman ini yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.

“Saya sangat terkejut dan bergegas pulang ke rumah tanpa menunggu mesyuarat berakhir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Zukri berkata, pada ketika itu dia hanya teringatkan keluarga dan bimbang keselamatan isteri dan tiga anaknya yang berada di rumah.

Menurutnya, setibanya di rumah, pada bahagian terbakar itu ketara berbau minyak petrol dan ada beberapa bahagian lain rumahnya turut ada tompokan minyak petrol.

“Tindakan pantas Mohd Amir berjaya memadamkan api yang marak terbakar pada bahagian pagar dan lantai hadapan rumah.

“Mujur api tidak merebak pada kereta Proton Saga Iswara yang terletak hanya 0.5 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Zukri berkata, jika tidak, dia tidak dapat membayangkan nasib yang menimpa keluarganya itu.

“Pada mulanya, Mohd Amir yang sedang menonton televisyen terdengar bunyi letupan seperti mercun di bahagian hadapan luar rumah.

“Anak saya berasa tidak sedap hati dan segera ke hadapan rumah dan terkejut melihat api pada bahagian pagar dan lantai rumah,” katanya.

Menurutnya, Mohd Amir segera memadamkan api dengan air paip yang turut dibantu isteri, Marziah Sukahar, 44, dan dua anak yang lain.

“Lazimnya, setiap malam di blok ini pasti riuh kerana penduduk duduk bersembang di luar rumah masing-masing.

“Tetapi, pada malam kejadian tiada penduduk yang bersembang dan mungkin individu terbabit mengambil peluang untuk melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Zukri berkata, dia tidak tahu siapa yang melakukan perkara berkenaan dan tidak pasti sama ada ia bersifat peribadi atau sebaliknya.