Search This Blog

Saturday, January 21, 2012

Rugi RM100,000 rumah disamun

PETALING JAYA — Seorang ahli perniagaan kerugiaan RM100,000 apabila disamun lima lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya di Jalan SS 14/6, Subang Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, dalam kejadian pada pukul 11.15 malam Khamis itu, lima penyamun dipercayai rakyat tempatan memecah masuk rumah berkembar dua tingkat milik ahli perniagaan itu ketika beliau serta dua orang saudaranya sedang bersembahyang di sebuah bilik di tingkat atas.
Beliau berkata, penyamun terbabit memecah masuk rumah selepas memanjat pintu pagar sebelum masuk menerusi pintu utama yang tidak berkunci.
"Mangsa yang berusia 31 tahun bersama dua orang saudaranya itu masing-masing berusia 37 dan 35 tahun sedar akan kehadiran penyamun itu apabila mereka turun ke tingkat bawah dan terserempak dengan salah seorang penyamun yang memakai topeng muka.
"Penyamun itu mengancam ahli perniagaan itu serta dua anak saudaranya dengan parang dan mengikat mereka sebelum melarikan barangan kemas, lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba, enam utas jam pelbagai jenama dan wang tunai RM35,000. Kerugian dianggar RM100,000,” katanya.
Yahaya berkata, polis percaya daripada gambaran yang diberikan mangsa, kumpulan penyamun itu telah melakukan jenayah samun di sekitar Subang Jaya sebanyak enam kali tahun lepas.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Rodney Pasla Haris di talian 016-8977664. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment