Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Pulas telinga sampai lebam

 SEREMBAN: “Hancur luluh hati apabila melihat telinga anak perempuan mempunyai kesan lebam teruk dipercayai dicubit pengasuh,” kata Suhaila Shaari, 25, ibu kepada kanak-kanak perempuan yang cedera dipercayai didera pengasuhnya di sebuah rumah di Ampangan di sini, minggu lalu.
Lebih menyayat hati apabila mangsa, Norshamin Shafika Abdullah, 2, dikatakan dicubit pada pipi dan telinganya hingga meninggalkan kesan lebam dan menyebabkan mangsa tidak berhenti menangis kesakitan.

Suhaila yang bekerja sebagai penjual tiket berkata, perbuatan itu disedarinya pada Khamis minggu lalu apabila dia ke rumah pengasuh berusia 50-an berkenaan untuk mengambil tiga anaknya termasuk mangsa, kira-kira jam 7.30 malam.

“Pengasuh memberitahu kononnya anak lelaki saya berusia setahun menggigit kakaknya (mangsa).

“Sebagai seorang ibu, saya cukup kenal anak-anak dan tahu perkara itu tidak berlaku berikutan kesan cubitan jelas dilihat pada telinga dan pipi mangsa,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan suaminya ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), berikutan anak perempuannya itu asyik meraung akibat kesakitan di telinga.

“Berdasarkan laporan perubatan pakar kanak-kanak di hospital itu, kesan lebam di telinga kiri anak saya adalah kerana dicubit dan dipulas dengan kuat.

“Malah, kesan lebam di pipinya juga jelas menampakkan kuku wanita dewasa.

Suhaila berkata, dia tidak menyangka pengasuh itu sanggup bertindak demikian dan berlagak baik seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Saya akui mungkin anak saya nakal tetapi mencubitnya hingga meninggalkan kesan dan trauma kepada anak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Selepas meneliti laporan perubatan, saya membuat laporan di Balai Polis Rahang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan dan sedang menjalankan siasatan.

No comments:

Post a Comment