Search This Blog

Wednesday, January 18, 2012

Pemain bola Perlis ditahan ‘caci’ polis





2012/01/18

JITRA: Seorang pemain bola sepak Liga Perdana Perlis, ditahan di sini, semalam, selepas memaki-hamun anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat selepas dia disaman kerana tidak memiliki lesen memandu. 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, berkata pemain berusia 26 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Jenan-Kepala Batas dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, ketika menunggang motosikal Honda EX-5 hitam.
Apabila pemeriksaan dibuat, dia didapati tidak memiliki lesen memandu dan polis mengeluarkan saman POL 257.
Bagaimanapun, pemain yang berasal dari Bandar Darulaman dekat sini, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan polis yang mengeluarkan saman ke atasnya dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki-hamun anggota terbabit. 

Anggota terbabit kemudian mengejar pemain itu kira-kira 200 meter dan menahannya di depan sebuah pasar raya di Bandar Darulaman. 

Difahamkan, pemain terbabit adalah bekas pemain bola sepak bagi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kini beraksi dalam kesebelasan utama Liga Perdana untuk dua musim berturut-turut. 

Ibrahim berkata, pemain itu dibawa ke cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan dan ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada dadah. 
Kesnya disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan pemain bola sepak itu dibebaskan dengan jaminan polis. 

No comments:

Post a Comment