menggigil jumpa mayat

PONTIAN - "Pada mulanya, saya ingatkan bangkai haiwan kerana banyak anjing liar mengerumuninya.

"Namun, sangkaan saya meleset selepas terpandang kaki manusia, rupanya mayat yang berbau,” kata Mohd Ikrom Selamat, 30, yang menjumpai mayat seorang lelaki di kawasan tanah lapang di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Mohd Ikrom yang terkejut dengan penemuan itu bertindak menghalau kumpulan anjing liar tersebut dengan membaling batu dan kayu ke arahnya.

“Selepas menghampiri, saya melihat mayat seorang lelaki terlentang tanpa memakai kasut. Mayat itu juga sudah berbau,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.

Mayat mangsa yang ditemuinya dalam keadaan terlentang dengan berpakaian baju-T berbelang dan berseluar jean berwarna biru.

“Saya menggigil kerana tidak pernah melihat mayat seperti ini dan segera memberitahu penduduk kampung,” katanya.

Mohd Ikrom yang menemui seorang penduduk di situ, Razif Margono, 40, kemudiannya bertindak menghubungi Balai Polis Pekan Nenas.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.