Search This Blog

Saturday, January 21, 2012

Lelaki tipu pelabur skim pukat ikan

BUKIT MERTAJAM: Polis percaya lelaki yang menganjurkan skim pukat ikan menggunakan identiti orang lain untuk menipu sekumpulan pelabur sehingga mereka kerugian yang dianggarkan lebih RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah, berkata pihaknya kini sedang giat mengesan lelaki berusia lingkungan 40-an itu bagi membantu kes berkenaaan.
"Lelaki itu yang dikenali sebagai R Vijayan dipercayai menggunakan identiti orang lain bagi menipu orang ramai dan mengelak dikesan pihak polis.
"Polis juga tidak menolak kemungkinan dia mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan pelaburan yang semakin berleluasa sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ambulans 24 jam sempena Tahun Baru Cina 2012, di sini, hari ini.

Majlis anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Pulau Pinang itu turut dihadiri Pengerusinya, Datuk B J Yeang.

Azman berkata, setakat ini pihaknya menerima empat laporan polis berhubung penipuan skim berkenaan.

"Siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengesan rangkaian sindiket berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Khamis lalu sekumpulan pelabur satu skim pukat ikan membuat laporan polis selepas wang mereka yang dilabur sejak setahun lalu lesap bersama lelaki yang dipercayai menganjurkan skim itu.

Wakil mereka A Tulasi berkata, kerugian dianggar lebih RM1 juta membabitkan kira-kira 1,500 pelabur yang terpedaya dengan janji pulangan lumayan lelaki berkenaan.

Sementara itu, Yeang berkata, serami 300 anggotanya akan bersiap sedia memberi perkhidmatan kecemasan selama 24 jam sempena musim cuti perayaan Tahun Baru Cina mulai hari ini sehingga 27 Januari.

Katanya, pasukan sukarelawan itu akan ditempatkan di beberapa lokasi iaitu di Jalan Grove di bahagian pulau, Jalan St Mark di Butterworth dan Permatang Tinggi, setiap lokasi akan menempatkan dua buah ambulans.

"Anggota sukarelawan yang bertugas, terlatih dalam mengendalikan keadaan kecemasan dan setiap pasukan akan diketuai oleh seorang anggota berpengalaman mengendalikan perkhidmatan perubatan dalam ambulans," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian 999. - BERNAMA Berita Harian Online | Lelaki tipu pelabur skim pukat ikan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment