Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Lebih 167,000 tangkapan dadah sepanjang 2011



KUALA LUMPUR 26 Jan. - Polis telah menahan seramai 167,001 individu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan berhubung pengedaran dadah di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Jumlah tangkapan itu menunjukkan penambahan sebanyak 16 peratus tangkapan berbanding 157,756 individu yang ditahan sepanjang tahun 2010.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, seramai 11,648 orang yang ditahan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbanding hanya 10,427 orang pada tahun 2010, meningkat sebanyak 12 peratus.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah pada tahun lalu dilihat merosot iaitu sebanyak RM243.32 juta berbanding RM270.78 juta pada tahun 2010.
Katanya, kemerosotan nilai itu bukan disebabkan kurangnya operasi PDRM tetapi pasukan itu lebih memfokuskan kepada pengedaran dadah jenis heroin sepanjang tahun lalu.
"Dadah jenis heroin masih lagi mencatatkan nilai rampasan tertinggi dengan 445.13 kilogram iaitu dua kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2010 iaitu sebanyak 234.27 kilogram.
"Lain-lain dadah yang dirampas syabu (830.29 kilogram), pil yava (364,879 biji), ketamin (106.75 kilogram) dan ganja (796.2 kilogram) sepanjang tahun 2011," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Tambah Noor Rashid, seramai 141 individu termasuk enam warga tempatan ditahan pihaknya ketika cuba menyeludup dan membawa masuk dadah melalui pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, hasil tangkapan di KLIA, polis berjaya merampas 281.48 kilogram dadah jenis syabu, ketamin (36.1 kilogram), ephidrin (6.3 kilogram), kodin (7 liter) dan heroin sebanyak 310 gram.
Katanya, kesemua suspek masih menggunakan kaedah sembunyi dalam ruang khas bagasi dan menyeludup secara menelan dalam badan untuk membawa masuk bekalan dadah ke negara ini.

No comments:

Post a Comment