Search This Blog

Sunday, January 8, 2012

Lanun gaharu dicekup

GERIK: Cubaan tiga ‘lanun hutan’ untuk melepaskan diri dengan menyogok seorang anggota polis bukan saja tidak berjaya, malah mereka turut diheret ke lokap.

Tiga lelaki itu, masing-masing dua warga Vietnam berusia 33 dan 45 tahun serta seorang warga tempatan berusia 25 tahun, cuba merasuah anggota itu bagi melepaskan diri selepas mereka dicekup bersama 250 kilogram kayu gaharu.


Dalam sekatan jalan raya jam 9 pagi kelmarin di Kilometer 9, Jalan Raya Timur — Barat (JRTB) berdekatan Hentian Sungai Lebey, mereka ditahan selepas pemeriksaan ke atas kereta dinaiki menemui kayu gaharu yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Bagaimanapun, sebaik kegiatan mereka terbongkar, ketiga-tiga suspek cuba menyogok anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang bertugas dengan wang tunai RM3,200 untuk melepaskan diri.


Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrum berkata, anggotanya enggan menerima sogokan itu biarpun ditawarkan lebih tiga kali.


Beliau berkata, anggotanya menahan ketiga-tiga suspek sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Gerik.


“Kami turut mendapati, dua lelaki warga Vietnam berkenaan memiliki pasport tamat tempoh manakala lelaki tempatan bekerjasama dengan warga asing untuk mencuri kayu gaharu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, kayu berkenaan yang dimuatkan dalam dua guni serta dua batang kayu yang belum diproses dicuri di kawasan Hutan Temenggor, Banding, Gerik.


Abdul Manab berkata, siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek mengaku membawa kayu berkenaan untuk dikumpulkan di Ipoh sebelum diseludup ke luar negara.


“Suspek mendakwa mereka berada di dalam hutan selama dua minggu.


“Mereka akan keluar selepas dua minggu untuk mengumpulkan bekalan hasil hutan itu di Ipoh,” katanya.


Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman untuk disiasat di bawah tiga kesalahan iaitu Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

myMetroLanun gaharu dicekup:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment