Kondo jadi makmal proses dadah

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya seorang pelajar lelaki warga Iran, dan merampas syabu bernilai kira-kira RM5.5 juta di kawasan Solaris Dutamas di sini, Rabu lalu.

Penahanan dibuat kira-kira jam 5.30 petang oleh dua anggota polis bantuan yang sedang menjalankan rondaan di kawasan bangunan, di situ.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusia 22 tahun itu menemui sebanyak 12 plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki syabu seberat lebih 10 kilogram (kg).

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudiannya menyerbu sebuah unit kondominium di kawasan sama kira-kira satu jam kemudian yang dipercayai dijadikan makmal memproses dan membungkus dadah.

“Siasatan dalam premis menemui sejumlah serbuk dan ketulan kristal dadah syabu yang diletakkan atas dua helai kertas dipercayai untuk proses pengeringan dadah itu.

“Kita turut rampas dua periuk nasi berisi bahan mentah yang dibekukan dalam peti sejuk disyaki syabu seberat 8,700 gram,” katanya pada sidang akhbar, semalam.

Mohmad berkata, pemeriksaan lanjut dalam premis menemui 10 botol plastik mengandungi dua liter cecair Acetone dipercayai digunakan suspek untuk membersihkan syabu agar kelihatan putih atau lebih tulen.

“Siasatan awal menunjukkan suspek aktif memproses dan mengedar dadah sejak beberapa bulan lalu untuk pasaran Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, semakan menunjukkan suspek berada di negara ini sejak 26 Oktober tahun lalu dan dijangka mendaftar untuk belajar dalam jurusan Bahasa Inggeris di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara.