Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Kenyataan palsu: Bekas pegawai polis dipenjara setahun



Azmi Osman dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan menggunakan surat akuan bersumpah dan kenyataan palsu, tujuh tahun lalu.


JOHOR BAHRU 26 Jan. - Seorang bekas pegawai kanan polis berpangkat Supritendan dihukum penjara setahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan surat akuan bersumpah palsu dan membuat kenyataan palsu, tujuh tahun lalu.
Hakim Mohd. Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Azmi Osman, 57, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.
Bagi pertuduhan pertama, Azmi didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai benar suatu akuan iaitu surat akuan bersumpah oleh D. Jethalal bertarikh 12 Ogos 2005 yang diketahui palsu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Blok D6, Putrajaya, antara 29 September dan 10 Oktober 2005.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 200 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 193 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun serta denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat satu pernyataan iaitu surat akuan bersumpah bertarikh 8 Oktober 2005 beserta senarai harta alih dan harta tidak alih bertarikh 29 September 2005, yang diketahui adalah palsu kepada pendakwa raya di Bandar Baru Uda di sini, antara 29 September dan 10 Oktober 2005.
Azmi didakwa mengikut Seksyen 19(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.
Mohd. Haldar memerintahkan Azmi dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara setahun bagi pertuduhan kedua.
Kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan serentak mulai hari ini.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi esok.
Beliau turut menetapkan wang jaminan RM25,000 terhadap Azmi sementara menunggu keputusan rayuan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muhammad Saifuddin Hashim Musaini manakala Azmi diwakili peguam belanya, Adam Yap dan C N Sritharan.

1 comment: