Gagal cari jalan pulang

KUALA KANGSAR – Akibat gagal mencari jalan pulang, seorang lelaki yang memburu di dalam hutan terperangkap lebih 12 jam kawasan hutan Bukit berapit, di sini, semalam.

Mangsa, Rosli Osman, 42, pada awalnya memasuki hutan berkenaan untuk memburu bersama dua lagi rakan tetapi berpecah ketika tiba di dalam hutan.

Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemui pasukan Jabatan Pertahanan Awam (Jpam) Kuala Kangsar dan Sungai Siput, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Bukit Gantang, kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Ketua operasi mencari dan menyelamat, Leftenan A Balasubramaniem berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.25 malam dan terus memulakan operasi.

Menurutnya, mangsa sendiri membuat panggilan kecemasan melalui telefon bimbit tetapi tidak tahu di mana lokasi dia berada.

“Mangsa yang berasal dari Trong, Taiping masuk ke dalam hutan untuk memburu bersama dua lagi rakan tetapi kemudiannya berpecah membawa haluan ma­­sing-masing.

“Dia tidak berjaya menemui jalan keluar dan tersesat, manakala dua rakannya selamat pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Kangsar selepas menghantar mangsa, di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi mencari mencari dijalankan sehingga jam 4 pagi dan sepanjang masa itu pihaknya berhubung dengan mangsa dari semasa ke semasa.

Jelasnya, pada jam 4 pagi, mangsa memberitahu sangat penat dan ingin mematikan talian telefon bimbit bagi mengelak kehabisan bateri.

“Mangsa ditemui tidak jauh dari kawasan R&R Bukit Gantang dan dalam keadaan sangat lemah.

“Selepas menghentikan operasi pada jam 4 pagi, ia disambung semula pada jam 7 pagi dan ketika itu mangsa sudah mengaktifkan semula talian telefon,” katanya.

Beliau difahamkan mangsa berjalan sejauh 13 hingga 15 kilometer dari lokasi tersesat sehingga ditemui berhampiran kawasan R&R itu.