Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Firma Malaysia didakwa beroperasi haram di Indonesia



JAKARTA 26 Jan. - Sebuah syarikat telekomunikasi Malaysia didakwa menjalankan operasi secara haram di kawasan perairan Natuna berdekatan Pulau Riau, kata tentera.
Akhbar Jakarta Post melaporkan, PT Sacofa Indonesia yang merupakan firma pelaburan asing dari Malaysia dipercayai menggunakan kawasan perairan itu sebagai pangkalan untuk kemudahan gentian optik dasar laut yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Malaysia Timur.
Ketua tentera Pulau Riau, Kolonel Adi Suryanto berkata, penemuan itu dibuat pegawai pentadbiran apabila mereka melakukan pemeriksaan mengejut ke atas syarikat tersebut.
Beliau berkata, penemuan tersebut menimbulkan beberapa persoalan.
"Sistem keselamatan syarikat itu sangat ketat. Terdapat bilik peralatan yang mengawal kemudahan optik dasar laut. Ketika pemeriksaan, mereka hanya menemui pengawal keselamatan, manakala pegawai bertugas dikatakan bekerja pada waktu tertentu,'' katanya semalam.
Pemeriksaan diketuai Timbalan Pegawai Pemerintah Natuna, Imalko bersama pegawai polis, tentera, dan pegawai Pangkalan Udara Ranai terhadap syarikat di Penarik, Sunguran Selatan itu dilakukan pada 20 Januari lalu.
Imalko berkata, berdasarkan penjelasan beberapa pekerja, kawasan itu merupakan pangkalan untuk operasi gentian optik dari Mersing dan Kuching.
"Kami tidak dapat memberi maklumat lanjut ketika ini kerana masih belum mendapat penjelasan mengenai operasi syarikat itu,'' katanya.
Menurut laman web syarikat itu, ia menjalankan operasi sistem kabel timur-barat sepanjang 950 kilometer bagi sambungan transmisi kapasiti tinggi antara Malaysia Timur melalui Buntal Sarawak dan Semenanjung Malaysia melalui Mersing, Johor dengan dua stesen pendaratan di Tarempa dan Penarik, Indonesia. - AGENSI

No comments:

Post a Comment